Panduan Tips Beli Kereta Pertama Gaji RM2500

Saya nak kongsikan tentang beberapa tips beli kereta pertama dengan gaji RM2500 dari pengalaman sendiri. Selalunya kalau dah ada gaji tetap kita mula pertimbangkan untuk beli kereta. 

Bukan apa senang nak bergerak ke sana sini. Lagi-lagi kalau jarak rumah ke tempat kerja agak jauh. Jom baca lagi apa panduan dan juga perkara yang patut anda ambil tahu sebelum buat keputusan yang betul.


Panduan & Tips Beli Kereta Pertama Yang Sesuai

Nak beli kereta ni kena fikir juga sesuai ke dengan komitmen bulanan. Bukan boleh main beli sahaja. Lainlah kalau ada tukang sponsor yang boleh beri duit cash. Senang dah tak perlu loan lagi. 

Tapi hakikatnya, kebanyakan kita memang perlu bergantung dengan loan untuk beli kereta. Masalahnya bukan nak bayar kereta sahaja kan? 

Belum lagi masuk bayaran balik PTPTN, sewa bilik atau rumah, kos makan minum dan juga untuk hiburan seperti bercuti dan sebagainya.

tips beli kereta gaji rm2500

Banyak lagi komitmen lain yang perlu diselesaikan tiap bulan. Jadi antara tips dan perkara yang patut dipertimbangkan sebelum beli kereta termasuklah;

  • Jumlah gaji bersih yang diterima setiap bulan
  • Komitmen bulanan yang tetap dan bayaran untuk keperluan diri
  • Jumlah peruntukan yang mampu untuk beli kereta

Anda kena senaraikan semua jenis komitmen tetap bulanan sebelum beli kereta. Perhatikan berapa jumlah lebihan yang boleh anda guna untuk bayar loan nanti.


Panduan Beli Kereta Pertama Untuk Gaji RM2500

Baru-baru ini adik saya juga ingin beli kenderaan yang sesuai. Memandangkan beliau sudah ada lesen dan bergaji dalam RM2500 sebulan. Maka banyak kira-kira yang perlu dibuat sebelum kereta sesuai dibeli beliau.

1- Kira jumlah gaji tahunan

Kalau baca di mana-mana laman pakar kewangan, mereka sarankan supaya nilai kereta yang dibeli tidak melebihi jumlah pendapatan atau gaji tahunan kita. Ini supaya kita tidak tersepit untuk membayar komitmen bulanan.

Contoh kiraan jumlah gaji tahunan : RM2500 x 12 bulan = RM30,000

Tetapi pada pendapat saya, kalau anda nak beli kereta yang lebih mahal pastikan anda betul-betul mampu untuk bayar setiap bulan. 

Kalau anda mampu bertahan tanpa kereta saranan saya jangan beli kereta dahulu ketika baru mula berkerja. 

Kumpulkan dahulu sebanyak mungkin duit pendahuluan (down payment) yang boleh dibayar nanti. Sekurang-kurangnya jumlah loan boleh dikurangkan. Oleh itu duit bayaran bulanan juga lebih rendah.

2- Kumpul duit down payment dahulu

Sebelum beliau buat keputusan untuk beli, pastikan sudah ada sekurang-kurangnya 10% duit down payment kereta. Asingkan sebahagian duit gaji tiap bulan untuk tujuan dikumpulkan bagi bayaran pendahuluan nanti.

Down payment ini bermaksud duit pendahuluan yang perlu dibayar ketika loan dimohon. 

  • Contoh harga kereta Axia Auto ialah RM35,000, maka 10% wang pendahuluan adalah RM3500
  • Maka jumlah loan nanti adalah (RM35000 - RM3500) = RM31,500
  • Anggaran loan interest 3.5% dengan 9 tahun bayaran balik
  • Bayaran bulanan adalah dalam kira-kira RM360 (lebih kurang)

Anda boleh guna loan calculator kereta Perodua ni kalau nak buat anggaran bayaran bulanan.


3- Pandu uji dan berbincang dengan jurujual kereta

Lagi satu tips ialah pergi ke mana-mana showroom kereta baru atau terpakai. Kemudian berbincang dengan jurujual tentang kereta yang boleh dibeli dengan nilai komitmen RM350 sebulan. 

Biasanya mereka dah ada kira-kira yang jelas untuk ditunjukkan kepada pelanggan. Dalam masa tu kumpulkan apa jenis kereta yang anda boleh beli dengan komitmen bulanan yang telah ditetapkan tadi.

Kemudian barulah buat keputusan jenis kereta yang hendak dibeli berdasarkan keperluan. Jangan terus setuju dengan setiap jurujual kereta tersebut. 

Saya cadangkan bawa balik dahulu setiap data dan fakta. Kemudian buat kira-kira dengan tenang di rumah. Selain itu cari juga kelebihan dan keburukan setiap kereta yang telah disenaraikan dan juga kos selenggaranya. 

Kereta kena dibeli sesuai dengan kemampuan kalau tidak mahu bajet bocor tengah bulan.

Antara Kos Maintenance Kereta

Selain dari bayaran balik loan bulanan, kena pertimbangkan juga kos sampingan dan maintenance kereta. Kereta nak bergerak kena guna petrol. Harganya pula berubah-ubah ikut harga pasaran dunia. 

Selain minyak petrol perkara lain termasuklah;

  • Insuran dan cukai jalan (tahunan)
  • Tol dan parking 
  • Kos baikpulih dan servis (setiap 3 bulan)
  • Duit simpanan kecemasan (sekiranya berlaku kerosakan komponen kereta)

Selain itu kena sediakan juga duit lebih untuk perkara emergency. Antaranya macam kisah saya dimana kompressor aircond Axia rosak lepas. Banyak juga kos baikpulih yang diperlukan ketika itu. 

Nasib baik ada bajet yang diperlukan. Kalau tidak kami perlu bertahan dengan keadaan aircond yang tidak dapat digunakan ketika memandu.
 
Kalau masa hari cerah okey lagi. Buatnya aircond rosak masa hujan, mahu berwap satu kereta dan jadikan keadaan pemanduan yang berbahaya.


Kesimpulan Tips Beli Kereta Pertama

Selain dari kereta baru, boleh pertimbangkan juga kereta terpakai sebagai kereta pertama. Selain dapat jimatkan wang ianya juga mempunyai kadar insuran yang lebih rendah. 

Kereta jenis kompak beri lebih kilometer untuk penggunaan minyak yang lebih jimat. 

Semoga perkongsian panduan dan tips beli kereta ini boleh memberi anda idea beli kereta yang terbaik. 

Post a Comment

0 Comments

Ad Code