Antara Aktiviti Motor Halus Kanak-Kanak Serta Kepentingannya

Semasa anak-anak masih diperingkat usia kecil kita boleh mula praktikkan beberapa aktiviti untuk membantu meningkat kemahiran motor halus dan juga motor kasar kanak-kanak. Berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa anak-anak masih kecil, pelbagai aktiviti telah kami lakukan bersama untuk merangsang kemahiran motor halus anak. 


Aktiviti tersebut terbukti telah meningkatkan kemahiran koordinasi otot tangan dan juga meningkatkan perkembangan fizikal dan pembelajaran kanak-kanak.


Maksud Kemahiran Motor Halus & Kepentingannya

Kemahiran motor halus dalam perkembangan kanak-kanak bermaksud suatu kemahiran atau daya upaya menggerakkan otot kecil tangan, pergelangan tangan dan kaki disamping berkoordinasi dengan pergerakan mata anak-anak serta akal mereka (otak). 


Bagi sesetengah ibu bapa mungkin pernah terfikir bahawa bukankah kita dilahirkan dengan kemahiran sedia ada ini?


Perlu diasah Sejak Dari Kecil Lagi

Kemahiran motor halus ini sebenarnya sangat penting dan perlu diasah dari usia bayi lagi. Jika pada orang dewasa aktiviti seperti memasukkan butang baju atau mengasingkan permainan seperti Lego terlihat sangat mudah, namun ianya sebenarnya sangat sukar untuk anak-anak yang masih kecil.


Antara sebab kemahiran motor halus anak-anak sangat penting dan perlu sentiasa dikembangkan kerana dapat melatih kemahiran kendiri seperti menulis, memakai baju sendiri selain membina serta meningkatkan keyakinan dalam diri anak-anak. 


Penting kan kemahiran menulis ni kalau kita plan nak masukkan anak ke tadika atau pre-school. Jadi ibubapa kena juga ambil tahu beberapa senarai aktiviti motor halus kanak-kanak yang boleh dilakukan hanya dari rumah.


Kemahiran ini juga akan meningkat seiring dengan perkembangan usia mereka.


Antara Senarai Aktiviti Kemahiran Motor Halus  Kanak-Kanak ialah:

Berikut merupakan beberapa kemahiran yang kami sekeluarga terapkan semasa anak-anak masih lagi kecil. Selain dapat meningkatkan kemahiran motor halus ianya juga dapat meningkatkan daya kreatif dan kritis mereka.

1- Bermain Permainan Blok dan Lego

Antara permainan yang saya suka belikan untuk anak-anak dari kecil. Mula-mula beli blok yang besar dulu supaya tidak tertelan. Kemudian semakin meningkat usia anak kami mula belikan Lego bersaiz kecil pula. 


Sebenarnya semakin kecil saiz permainan blok ini semakin kompleks rekabentuk yang perlu mereka bina. Selain meningkatkan kemahiran motor halus ianya juga dapat merangsang kreativiti anak-anak.


Aktiviti Motor Halus Kanak-Kanak
Permainan blok dan Lego

2- Belajar Makan Menggunakan Penyepit (Chopsticks)

Disebabkan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina kami akan makan di restoran atau di rumah dengan menggunakan penyepit maka kami galakkan anak-anak belajar dari kecil. Mula-mula memang akan sedikit bersepah dan sebagainya. 


Tetapi kalau kita sabar insyaAllah anak-anak akan cepat belajar. Sedangkan orang tua seperti saya juga struggle untuk gunakan penyepit apatah lagi anak-anak kan?


Aktiviti Motor Halus Kanak-Kanak
Gunakan penyepit ketika makan

3- Butang Baju Sendiri

Mula-mula belajar memang agak lucu dengan keletah anak. Senget semua butang baju tidak dimasukkan dengan betul. Tetapi aktiviti butang baju sendiri ini antara yang saya galakkan anak-anak cuba sendiri. 


Aktiviti ini semestinya dapat merangsang koordinasi antara mata dan otot tangan mereka.


4- Bermain Dengan Doh 

Pelbagai jenis permainan doh boleh kita dapati sekarang ini. Jika ianya mahal ibu bapa boleh merangsang kemahiran motor halus mereka semasa membuat biskut ataupun roti.


 Kita boleh galakkan anak-anak turut serta mengadun doh sebelum biskut atau roti dibakar. Ianya jimat dan juga boleh dimakan selepas selesai dimasak. 


5- Bermain Pasir 

Antara aktiviti yang boleh dilakukan dengan anak-anak ketika hujung minggu. Kita boleh mereka ke pantai untuk bermain dan membina istana pasir. Selain dapat meredakan ketegangan selepas seminggu berkerja dan berada di rumah pengasuh atas tadika ianya juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.


Selain itu kemahiran motor halus anak-anak juga akan semakin meningkat dengan aktiviti bermain pasir. Saya suka jalan ke pantai di sekitar Mersing dengan keluarga dan anak-anak.


senarai aktiviti motor halus untuk kanak-kanak
Aktiviti bermain pasir pantai atau pasir buatan di rumah

6- Aktiviti Melukis dan Mewarna

Kebanyakan kanak-kanak memang tidak akan menolak jika kita berikan pensel warna dan juga kertas lukisan. Pergerakan memegang dan menggenggam pensel boleh melatih kemahiran motor halus mereka dari kecil. 


Baru-baru ini kami sekeluarga ke Kuantan Pahang untuk bercuti dan sempat singgah untuk mewarnakan batik di Natural Batik Village, Balok. Ini juga merupakan antara aktiviti yang boleh kita selitkan untuk anak-anak ketika bercuti mahupun berada di rumah.


7- Menggunting dan Menampal Kertas

Anak-anak saya semasa kecil memang suka menggunting kertas dan menampal. Pantang nampak gunting pasti ada sahaja yang akan diguntingnya. Aktiviti seperti perlukan pengawasan orang dewasa supaya mereka tidak tercedera. 


senarai aktiviti motor halus untuk kanak-kanak
Gunting dan tampal kertas jadikan ianya suatu seni menarik

8- Menyusun Mengikut Bentuk Yang Betul

Kita boleh mulakan dengan ajar mereka menyusun barangan dengan betul contohnya masukkan mainan yang berbentuk ke dalam bekas tersendiri. Selain itu mungkin boleh cuba minta anak-anak tutup botol atau bekas dengan penutup yang betul.


senarai aktiviti motor halus untuk kanak-kanak
Menyusun permainan mengikut bentuk

9- Belajar Mengikat Tali Kasut

Jika anak-anak sudah mula ke tadika atau sekolah, mereka boleh mula diajar untuk mengikat tali kasut sendiri. Mengikat tali kasut merupakan aktiviti yang akan sukar untuk permulaan bagi anak-anak. Latihan seperti ini sangat memerlukan kerjasama ibu atau bapa dah juga kesabaran yang tinggi.


10- Belajar Mengunakan Tetikus (Computer Mouse)

Seiring meningkatnya usia anak-anak mereka akan mula ke tadika atau sekolah. Dengan perkembangan teknologi semasa kemungkinan mereka akan menggunakan alat teknologi di sekolah adalah sangat tinggi. 

Mereka boleh mula diajar menggunakan tetikus semasa bermain permainan di komputer ataupun mengunakan tab. Cuma pada saya masa bermain komputer atau tab perlulah dihadkan supaya tidak merosakkan mata dan fokus mereka pada perkara lain yang lebih penting.

senarai aktiviti motor halus untuk kanak-kanak
Belajar menggunakan tetikus komputer

Tidak Terhadkan Aktiviti Bersama Anak

Selain daripada 10 aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak di atas terdapat juga pelbagai juga aktiviti lain yang ibu bapa boleh praktikkan dengan anak. 

Antaranya seperti ;

  • Belajar menyusun katil sendiri
  • Mengutip barang yang jatuh ke lantai 
  • Memasang permainan sendiri dan pelbagai lagi.


Orang dewasa juga menggunakan kemahiran motor halus dalam pelbagai urusan harian seperti menaip, menulis dan juga membuat kerja di dapur contohnya. 

Semakin anak-anak terlatih dengan kemahiran-kemahiran yang disebutkan maka mereka akan menjadi lebih yakin serta boleh berdaya kendiri seiring dengan peningkatan usia. 

 
Semoga bermanfaat.

Post a Comment

0 Comments

Ad Code